Rabu, 5 Mei 2010

Ini zaman dulu punya cerita # 12 – Payung hikmat.

Pada satu tengah hari, gua pulang ke rumah dengan muka ‘down’ gila. Peluh menitik kat dahi, mata berkilat, jalan pandang lantai. Di tangan gua ada satu botol air mineral besar yang mana masa gua keluar rumah penuh dengan guli. Masa balik tinggal sebijik, itupun pasal nak simpan nak buat ‘penuju’. Tak guna punya Kamal Ariffin. Ekselen betul corak permainan beliau hari tersebut. Asal tuju kena, asal tuju kena. Kerap kali beliau tuju kena ‘kepala’. Cilakak.

Masuk saja ke rumah gua terus tala ke dapur cari air peti. ‘Timing’ gua memang ngam. Emak gua tengah bancuh sirap untuk makan tengah hari. Emak gua yang prihatin terus bertanya,

“hah! Baru nak balik? Menang ke kaloh hari ni?”

Gua menjawab soalan emak gua dengan satu pandangan pilu.

“Kaloh la tu….”, tambah kakak gua yang tua sikit dari gua tu tersengih-sengih. Kecik-kecik dah pandai jaga tepi kain orang.

“Diam la. Kome tumbuk awok kang!”

***
Selesai saja mengisi perut yang dari pagi memang kebulur gua terus tala ke tibi. Entah menda-menda cerita tibi masa tu. Tahu nak bercinta saja. Budak kecik pun tahu menyampah tengok. Memandangkan hobi gua time tengah hari adalah menonton tibi semata-mata, gua jadi hilang punca. Tak tau nak buat menda. Nak tidur gua tak boleh. Muka bongkak Kamal Ariffin terbayang-bayang di ruang mata. Rasa macam nak baling batu pun ada.

Gua lantas menuju ke beranda rumah sambil layan lagu Jika Kau Fikirkan Kau Boleh. Beranda ni memang dah jadi sinonim dengan aktiviti termenung teringat ke makwe, merajuk tak nak makan nasik, dan juga aktiviti cucuh rokok. Kalau cucuh rokok time tu gua jamin mesti sedap. Nasib baik masa tu gua belum reti lagi. Harap bapak gua sorang saja baru reti. Gua masa tu cucuh mercun reti la. Tapi macam tak sopan pula kalu taruk mercun kat mulut lepas tu cucuh. Kapten Boleh pun tak buat macam tu. Sambil tu otak ligat berfikir apa nak buat. Tiba-tiba gua dapat satu akal baik punya bila terpandang satu payung elok tergantung dekat beranda rumah bapak gua tu.

Gua tengok langit, tengok tanah, tengok langit balik. Dada dah start berdebar. Gua berdiri atas penghadang beranda, kemudian gua kasi bukak payung elok-elok. Kemudian lagi, selepas mengambil nafas lebih kurang, berbekalkan semangat Jika Kau Fikirkan Kau Boleh dan payung kat tangan, gua terjun sambil lompat tinggi-tinggi. Memang bergaya habis.

PELEPOWW..!!

***

“Tak ada kerje sungguh laa..mudoh sangat percaya ke tibi! Habis patoh payung mok..”, kata emak gua sambil taruk minyak Afiat dekat buku lali gua.

“ Mana orang tau..Ingatkan jadi…”, Balas gua dengan muka berkerut. Dalam kepala terbayang Mat Karung Guni tersengih-sengih terjun bumbung bangunan pakai payung kaler hitam. Hati gua remuk. Jauh di sudut hati gua, gua memang cukup kecewa dengan sikap tibi yang suka mempermainkan hati dan perasaan kanak-kanak.